KESEDARAN KONSUMERISME PENENTU KEBIJAKSANAAN PENGGUNA

Pada hari ini, kesedaran terhadap konsumerisme dalam kalangan masyarakat di negara ini merupakan suatu tanda aras penentu kepada kebijaksanaan pengguna untuk menggunakan hak mereka untuk berbelanja atau menggunakan perkhidmatan yang tersedia.

Kemajuan pesat teknologi komunikasi maklumat pada hari ini memaparkan lebih banyak dagangan perniagaan terbuka yang boleh menyebabkan lebih banyak implikasi terhadap hak pengguna dan peraturan dagangan yang boleh mencetuskan konflik kepada pengguna sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik.

Kajian daripada Mohd Azrul Mohamad Salleh et. Al, dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2016 mendapati bahawa pembangunan sistem atau aplikasi secara dalam talian mendorong kepada anjakan paradigma yang memberi impak kepada kehidupan harian masyarakat dalam memproses, berkongsi dan penyebaran maklumat.

Selain itu,menurut Mohd Azrul, pembangunan teknologi ini akan menjana lagi pembentukan sebuah masyarakat abad ke 21 yang baharu, iaitu masyarakat digital atau masyarakat jaringan.

Justeru, literasi konsumerisme dalam kalangan pengguna harus dipergiatkan bagi memastikan perkara-perkara yang tidak diingini seperti penipuan, pencerobohan hak pengguna dan sebagainya tidak berlaku, lebih-lebih lagi mendepani arus kemodenan dan kepantasan maklumat di hujung jari.

Ancaman jenayah siber ini menjadi ancaman utama negara. Perangkaan menunjukkan dari Januari hingga April tahun 2020 berlaku peningkatan jenayah siber yang tinggi dan bilangannya mencecah 3,510 kes.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman pula dilaporkan menerima lebih 800 laporan polis berkaitan dengan penipuan penjualan topeng muka secara atas talian dari Januari hingga September tahun ini melibatkan kerugian lebih RM4.5 juta. Modus operandi sendiket ini menggunakan Instragam, Twitter dan Facebook untuk menipu mangsa.

Kes tipu topeng muka catat hampir RM5 juta

Isunya disini, sejauh mana pengguna aplikasi media sosial di Malaysia memiliki pengetahuan, kesedaran dan kefahaman terhadap wujudnya suatu mekanisme kawalan oleh pihak ketiga yang boleh menganggu keselamatan dan privasi pengguna?

Adakah pengguna menyedari perkongsian data dalam media sosial juga memungkinkan ada pihak ketiga memerhati atau mengawasi gerak-geri seseorang pengguna tersebut?

Sejauh mana pengguna memahami isu pengawasan melalui aplikasi media sosial ini membawa kesan yang positif dan negatif dalam kehidupan harian, lebih-lebih lagi memberi pengaruh kepada proses pembuatan keputusan ke atas pembelian barangan atau perkhidmatan?

Oleh itu, suatu kajian secara komprehensif mengupas dan mendedahkan tahap dan pengaruh literasi pengguna dalam pembuatan keputusan berhubung dengan isu-isu kepenggunaan mereka seharian dan bagaimana sistem pengawasan pengguna dapat membantu para pengguna membuat penilaian sebelum sesuatu keputusan dibuat yang akan memberikan manfaat kepada mereka atau sebaliknya.

Kesedaran konsumerisme atau kepenggunaan ini bukan sahaja terhad kepada keprihatinan pengguna untuk menggunakan hak-hak mereka apabila mengguna atau berbelanja barangan atau perkhidmatan di media sosial tetapi ia menjurus kepada pelaksanaan mekanisme Pengawal seliaan Kendiri dalam kalangan pengguna.

Sistem Pengawalan Kendiri merupakan suatu kaedah bagaimana pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat pemeriksaan dan penelitian ke atas sebarang barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka menerusi medium sesuatu media.

Menurut kajian yang dibuat oleh Profesor Johannes Klinglmayr dari Austria pada 2016 juga mendapati bahawa gaya membuat keputusan berdasarkan pengawal seliaan kendiri ini mendorong pengguna untuk membuat keputusan berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan teliti ke atas barangan atau perkhidmatan sebelum suatu keputusan dibuat oleh seseorang pengguna berkenaan.

Ia dikatakan dapat mengurangkan sifat keraguan dan kebimbangan pengguna semasa mahu membuat sesuatu keputusan berhubung dengan isu-isu kepenggunaan yang dihadapinya.

Mekanisme Pengawal Seliaan Kendiri pengguna di Malaysia dibangunkan oleh Forum Pengguna Malaysia (CFM) dengan terbitan Kod Pengguna. Ia merupakan inisiatif utama kerajaan yang dijanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Kod Pengguna dijadikan sebagai rujukan utama atau garis panduan kepada industri dan para pengguna untuk mengenalpasti kerelevenan kod tersebut dalam membantu para pengguna mengamalkan gaya membuat keputusan berdasarkan tindakan rasional, objektif dan sekaligus memimpin mereka bertindak dengan betul.

Setidak-tidaknya Kod Pengguna akan dijadikan suatu pedoman kepada pihak penawar pekhidmatan dan pengguna untuk mengimbangi keperluan memberi perkhidmatan dengan kehendak pengguna yang perlukan nilai mutu perkhidmatan yang berkualiti dan standard.

Dalam konteks yang lebih menyeluruh, penguatkuasaan Kod Pengguna sebagai suatu medium pengawal seliaan kendiri ini dapat mendidik pengguna lebih prihatin terhadap amalan budaya konsumerisme yang beretika selain memberikan penekanan terhadap penilaian ke atas kesedaran konsumerisme dalam kalangan pengguna, tetapi juga melihat tahap peranan dan pengaruh CFM mempromosikan sistem pengawalan kendiri pengguna sebagai satu mekanisme untuk merangsang pengguna melakukan proses pembuatan keputusan yang lebih sistematik dan mengurangkan risiko mereka daripada terjebak dalam isu-isu jenayah kepenggunaan di negara ini.

Diharapkan pengawal seliaan konsurisme menerusi mekanisme pengawal seliaan kendiri menggunakan Kod Pengguna ini nanti akan mewujudkan amalan budaya keprihatinan pengguna yang lebih positif dan mampu memelihara hak-hak pengguna di negara ini. — AlHijrah Online

Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply