MKN BENARKAN SOLAT FARDHU DAN SOLAT JUMAAT SECARA TERHAD KETIKA PKPB

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan untuk membenarkan secara terhad pelaksanaan solat fardhu dan solat Jumaat semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bilangan jemaah yang terhad bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

“Setelah berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan (Dr Luqman Abdullah) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), keputusannya telah dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebentar tadi.

“Suka cita dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah perkenan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli berdasarkan perkenan Al-Sultan Abdullah, solat Jumaat dilaksanakan tidak melebihi 50 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

Manakala bagi solat fardhu, baginda bertitah ibadah itu dilaksanakan tidak melebihi 20 orang jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Jemaah akan ditentukan oleh jawatankuasa kariah masjid dan surau jumaat masing-masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing-masing,” kata Zulkifli.

Tambah beliau kerajaan amat prihatin akan usaha pengimarahan rumah ibadah pada masa ini dan beliau mengharapkan JAWI dapat memastikan semua Tatacara Operasi Standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh para jemaah demi kemaslahatan bersama. — AlHijrah Online

Leave a Reply