PKPB KAMPUNG PADANG CHE MAS, BALING BERMULA 18 OKTOBER

KUALA LUMPUR: Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuatkuasa 18 Oktober sehingga 31 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata arahan itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Sehingga 12 Oktober 2020, seramai 236 individu telah disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan 5 buah keluarga dan 100 masih menunggu keputusan saringan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Susulan perkembangan itu katanya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di kawasan berkenaan.

Menurut Ismail Sabri PKPB ini akan melibatkan seramai 1,150 penduduk dan 151 buah rumah di kawasan tersebut.

Tambah beliau dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB yang telah ditetapkan seperti tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas serta hanya dua orang saja wakil yang dibenarkan bagi sebuah rumah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan.

Maklumat lanjut katanya boleh dirujuk di laman sesawang MKN. — AlHijrah Online

Leave a Reply