‘TAU TAU DAH RAYA’, ‘RAYA,RAYA JUGA’, HIBURAN ISLAMIK PENUH PENGAJARAN

KUALA LUMPUR: Bertujuan mencari keseimbangan dalam penghasilan kandungan yang mampu mencuit hati penonton sambil menyampaikan dakwah yang penuh pengajaran, dua program hiburan Islamik diterbitkan TV AlHijrah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dua program hiburan Islamik berkonsepkan sitkom itu ialah ‘Tau Tau Dah Raya’ dan ‘Raya,Raya Juga’.

‘Tau Tau Dah Raya’ yang akan bersiaran pada malam raya iaitu 12 Mei 2021, jam 10.00 malam akan menampilkan barisan pelakon antaranya Bell Ngasri, Fadzli Aziz, Zaiton Khalid, dan Man Raja Lawak.

Program itu akan turut mengundang Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Firdaus Wong, Ustaz Luqmanul Hakim Hanafi dan Farahanim Razak yang akan memberi keseimbangan antara hiburan dan dakwah.

Penerbit ‘Tau Tau Dah Raya’, Syafinah Othman berkata mesej yang ingin disampaikan dalam program tersebut ialah mengenai sambutan Hari Raya norma baharu yang juga menyentuh tentang adab, akhlak dan hukum bersalaman antara mahram.

Katanya program itu akan menceritakan mengenai kisah seorang atok yang memerlihara dua orang cucu menerima kunjungan daripada jiran-jiran ketika Hari Raya.

“Ini merupakan pendekatan terbaik dalam menyampaikan dakwah secara santai, kempen Raya norma baharu dan julung kalinya sitkom bual bicara Islamik diterbitkan.

“Permintaan terhadap kandungan hiburan itu tinggi. TV AlHijrah yakin dengan mesej dakwah yang baik disulam bersama hiburan mendidik ia mampu memberi manfaat kepada penonton,” katanya.

‘Raya,Raya Juga’ pula akan bersiaran pada Hari Raya pertama iaitu 13 Mei 2021 jam 9.00 malam.

Sitkom ini akan menampilkan pendakwah dan pelakon antaranya Ustaz Syamsul Debat, Eby Yus dan Ustaz Haslin.

Program hiburan Islamik tersebut akan menceritakan mengenai amalan salah yang perlu diperbetulkan.

Penerbit ‘Raya,Raya Juga’ Wan Hussain Ismail berkata programnya itu berkisahkan seorang bapa yang agak pelupa, meninggalkan rumah anaknya dan tinggal bersama individu lain untuk menyambut Hari Raya.

“Saya berharap agar rancangan ini mendapat perhatian dan sambutan penonton sedia ada serta mampu untuk menarik penonton baharu TV AlHijrah.

“Semoga usaha ini akan dapat memberi manfaat kepada penonton sebagai panduan dalam kehidupan seharian,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply