TEMUJANJI HOSPITAL TIDAK LAGI PERLU SURAT KEBENARAN POLIS

KUALA LUMPUR: Individu yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri bagi tujuan temujanji atau rawatan di hospital tidak lagi perlu memohon surat kebenaran pergerakan daripada pihak polis.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pesakit hanya perlu mengemukakan kad temujanji jika diperiksa polis.

“Sebelum ini, kerajaan telah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau temu janji di hospital atau klinik.

“Ini telah menyukarkan mereka terutama pesakit yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sejak akhir-akhir ini, kesalahan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis terus mendahului senarai berbanding kesalahan lain.

Perkara itu katanya menunjukkan masih ada di kalangan kita bersikap sambil lewa sedang COVID-19 kini sudah berada dalam komuniti.

Kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu katanya bukan sahaja menyukarkan pihak berkuasa mengesan sesuatu kes sebaliknya akan mendatang masalah kepada orang lain. — AlHijrah Online

Leave a Reply