TH terus labur dalam pasaran ekuiti domestik

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan pelaburannya dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya dan tidak pernah melepaskan pegangan ekuitinya berjumlah RM2.6 bilion.

Menurut kenyataan TH hari ini, nilai ekuiti domestiknya telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada penghujung tahun 2018 kepada RM7.48 bilion setakat 27 September 2019.

Selain daripada ekuiti, TH juga kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

“TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi agihan aset yang mengutamakan pendapatan yang mampan buat jangka masa yang panjang dengan mengambilkira risiko yang bersesuaian,” kata kenyataan itu.

Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah.

TH juga menafikan pemilikan atau pelupusan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Berhad, Lion Industries Corporation Berhad, T7 Global Berhad, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Berhad dan Cheetah Holdings Berhad seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Leave a Reply