TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS GEMPA DI SELATAN FILIPINA
PUTRAJAYA: Tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi yang berlaku di Jose Abad Santos di selatan Filipina, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, menurut Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS), tiada laporan kerosakan besar dilaporkan.
Bagaimanapun, gempa bumi pada kekuatan 6.4 skala Richter itu dijangka disusuli dengan gegaran susulan.
“Kementerian Luar memantau perkembangan gempa bumi berkekuatan 6.4 skala Richter di Jose Abad Santos di selatan Filipina semalam.
“Mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat Konsulat Besar Malaysia di Davao City,” kata kenyataan Wisma Putra itu.
Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Konsulat Besar Malaysia di Davao City di talian +63822214050 atau +639369684001 atau emel mwdavao@kln.gov.my atau hubungi Kementerian Luar di talian 0388874530 atau 0388874570 (selepas waktu pejabat). – AlHijrah Online