Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TIGA SAHABAT BEBAS TUDUHAN EDAR DADAH

DALAM NEGARA

TIGA SAHABAT BEBAS TUDUHAN EDAR DADAH

Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga sahabat atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 227.6 gram (g), lima tahun lepas.

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga sahabat atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 227.6 gram (g), lima tahun lepas.

Hakim Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap K. Kavirvarman, 29, N. Gobinath, 30, dan S. Dinesh Kumar, 32.

“Jadi, mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh tanpa memanggil untuk membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang juga bekas mekanik itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 174.8 g dan monoacetylmorphines seberat 52.8 g di lorong belakang sebuah kedai di Dataran Sentral, di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 3 Julai 2020.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, disebat minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar, manakala Kavirvarman diwakili peguam S. Kartikeyan dan M. Gopinathan, serta Gobinath dan Dinesh Kumar diwakili Datuk K. L. Chee.

Kartikeyan dan Gopinathan yang ditemui pemberita selepas itu berkata ketika Kavirvarman yang berasal dari Johor Bahru dituduh, bapanya serta ahli keluarga yang lain kerap ke mahkamah untuk memberikan sokongan kepada anak guamnya itu.

“Namun, kira-kira dua tahun lepas, bapanya meninggal dunia akibat sakit tua, tertuduh tidak berpeluang melawat bapanya dan amat terkesan dengan kehilangan tersebut,” kata mereka.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading