TINDAKAN TEGAS KEPADA INDIVIDU HINA AGAMA ISLAM: MUJAHID

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Tindakan menghina agama Islam serta kitab suci al-Quran adalah tindakan serius yang tidak boleh dikompromi sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata semua pihak harus peka supaya tidak melakukan tindakan bersifat provokatif dan mempamerkannya di media sosial.

“Saya yakin pihak polis sentiasa bertindak tegas dan segera kepada mana-mana aduan dibuat melibatkan jenayah menghina Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Mujahid itu merujuk kepada penularan video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki bertindak memijak al-Quran di lokasi yang belum dikenal pasti.

Mujahid turut menasihatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengambil tindakan sendiri dalam isu itu.

“Negara ini mempunyai undang-undang yang boleh diguna kepada individu yang menghina agama Islam seperti Seksyen 298A dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply