TV ALHIJRAH CATAT 75 PERATUS PENINGKATAN PENONTON, MALAYSIA #QURANTIME PILIHAN UTAMA

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) mencatat 75 peratus peningkatan dalam capaian penontonnya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding dua minggu sebelumnya.

Program terbaru terbitan TV AlHijrah, Malaysia #QuranTime dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Warisan Ummah Ikhlas menjadi pilihan utama dengan capaian 926,00 penonton, demikian menurut data Unit Consumer Insight dan Nielsen Malaysia.

Malaysia #QuranTime yang disiarkan setiap Isnin hingga Ahad selama sejam setiap hari bermula jam 12 tengah hari  menyaksikan penonton seisi keluarga berpeluang bertadarus bersama tetamu jemputan di studio Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Menggunapakai tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah, program Islamik ini menampilkan pentadabbur Al-Quran, Tuan Fazrul Ismail sebagai hos rancangan dengan tetamu jemputan yang terdiri daripada ilmuan agama, ahli akademik dan ramai lagi.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak COVID-19 bermula 18 Mac lalu, TV AlHijrah turut mencatat 12 kali ganda peningkatan rating bagi slot rancangan jam 12 hingga 1 tengah hari.

Syer penonton segmen dewasa berusia 50 tahun ke atas meningkat 57 peratus, manakala syer penonton market centre meningkat sebanyak 50 peratus.

“TVAH menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran dua kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik lain,” demikian menurut data dimuatkan dalam 11 fakta menarik mengenai TV AlHijrah sepanjang PKP itu.

Sepanjang tempoh PKPK, laman Facebook TVAH dilayari 10.6 juta pengguna pada April 2020  iaitu tujuh kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada.

“Purata like harian di laman Facebook TVAH meningkat sebanyak 185 peratus,” kata kenyataan itu.

Jumlah pengguna berkongsi kandungan dari Facebook TVAH mencapai 1.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 133 peratus dengan peningkatan jualan di platform TV shopping sebanyak 13 peratus.

Siaran langsung Sidang Media Covid-19 dan program Malaysia #QuranTime di laman Facebook TVAH pula berjaya menarik tontonan 24.8 juta penonton. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply