BELUM ADA KENYATAAN RASMI PENANGGUHAN HAJI DARI ARAB SAUDI – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung penangguhan ibadah haji pada tahun ini dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata perkara itu dimaklumkan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan kepada beliau dalam pertemuan khas di kedutaan itu semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an; Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said.

“Berdasarkan penjelasan TYT Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini. Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini dan memelihara dua kota suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Media tempatan sebelum ini memetik laporan agensi berita antarabangsa dan media Arab Saudi, termasuk Al Arabiya English, yang melaporkan mengenai gesaan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi meminta umat Islam bersabar dan menangguhkan rancangan haji dan umrah ketika ini ekoran penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Zulkifli berkata pelaksanaan ibadah haji adalah antara perkara yang penting dalam merealisasikan Rukun Islam.

“Wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini, turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

“Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19,” kata Zulkifli memohon rakyat Malaysia berdoa agak wabak ini dihilangkan Allah swt.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya,” kata Zulkifli dalam kenyataan itu. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply