DPIM BELI HASIL TANAMAN PETANI, AGIHKAN KEPADA KELOMPOK MEMERLUKAN

KUALA LUMPUR: Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) melaksanakan program bantuan serampang dua mata membantu kelompok petani dan pekebun kecil terjejas akibat COVID-19.

Melalui program itu, DPIM membeli hasil tanaman petani dan pekebun kecil terjejas sebelum hasil tanaman yang dibeli akan diagihkan kepada kelompok memerlukan termasuk golongan asnaf, kumpulan B40 dan miskin bandar.

Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din berkata, penguatkuasaan PKP bagi membendung penularan COVID-19 menyebabkan petani dan pekebun kecil gagal menjual hasil tanaman ekoran kekangan pergerakan.

Katanya, pihak pemborong pula berdepan masalah untuk memasarkan hasil tanaman kerana pasar ditutup atau operasi dihadkan.

 “Strateginya adalah untuk membantu golongan petani dan pekebun kecil yang tak boleh keluar. Pasar pula tak buka, jadi berlaku lambakan hasil tanaman.

“Petani dan pekebun kecil adalah kelompok yang bergantung kepada penjualan hasil tanaman mereka.

“Melalui program ini, kita beli hasil tanaman petani dan pekebun kecil menggunakan dana sumbangan orang ramai yang kemudiannya diagih kepada kelompok asnaf, B40 dan miskin bandar,” katanya dihubungi AlHijrah Online di sini hari ini.

Setakat ini, DPIM membeli hasil tanaman petani dan pekebun kecil di sekitar Banting, Kuala Langat sebelum mengagihkannya kepada kelompok penerima antaranya penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Shah Alam, Pandan, Cheras dan Klang.

“Agihan dilakukan dengan kerjasama persatuan penduduk, masjid dan pejabat wakil rakyat berkenaan,” katanya menjelaskan agihan bantuan hasil tanaman seperti ubi kayu dan keledek itu sebagai makanan alternatif sihat buat penerima berbanding makanan kering seperti mee segera.

Maklumat lanjut mengenai program bantuan khas pembelian hasil tanaman petani dan agihan bantuan itu boleh dirujuk di Facebook DPIMHQ atau layari laman web www.dpim.org.my. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply