UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA BAGI TAHUN 2020 DIBATALKAN – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadual bermula 28 September hingga 1 Oktober 2020, dibatalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga memutuskan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara akan dibuka mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Keputusan (pembatalan UPKK) ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin,” katanya dalam perutusan khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live beliau hari ini.

Zulkifli berkata pembatalan UPKK itu tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula dari tahun 1 hingga tahun 6 di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dalam pelbagai kaedah.

“Justeru bagi tujuan ini, JAKIM akan menetapkan kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,” katanya.

KPM pada 15 Mac lalu membatalkan penilaian UPSR dan PT3 serta menangguhkan ujian SPM, SVM, STPM dan STAM kepada tahun 2021 ekoran penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Langkah ini diambil kerajaan bagi memastikan rantaian jangkitan wabak itu diputuskan dengan sepenuhnya.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 5,182 kes dan 84 kematian akibat COVID-19. Daripada jumlah itu, 2,766 pesakit telah sembuh dan didiscaj dari hospital. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply