BANTU-BANTU MSIA SERAH 20K TOPENG MUKA, 1K KAMPIT BERAS KEPADA JAWI FOODBANK

SERI KEMBANGAN: Bantu-Bantu Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan 1,000 kampit beras 5kg dan 20,000 topeng muka kepada JAWI Foodbank untuk diagihkan kepada kelompok terjejas akibat COVID-19.

Sumbangan itu diserahkan Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada majlis penyerahan di Hotel Palace of The Golden Horses di sini hari ini.

Bantu-Bantu Malaysia adalah inisiatif sosial Country Heights Holdings Berhad untuk membantu kelompok terjejas akibat COVID-19.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataannya hari ini berkata sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah inisiatif #Musaadah Covid19.

Sejak 18 Mac lalu, JAWI Food Bank mengagihkan makanan siap dimasak berjumlah 66,755 pek bernilai RM 551,870 dan barangan keperluan asas kepada petugas barisan hadapan dan golongan terkesan tanpa mengira latar belakang termasuk bukan warga negara dan masyarakat bukan Islam.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu adalah Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

“Semua sumbangan dan agihan ini adalah lambang keperihatinan dan semangat kesatuan dan keharmonian masyarakat Malaysia dalam mengharungi tempoh getir yang sedang melanda negara,” kata kenyataan itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply