WANITA DITIKAM DALAM KEDAI DOBI STABIL – POLIS

KUALA NERUS: Wanita yang ditikam dalam kejadian samun di kedai dobi layan diri, di hadapan Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini semalam, dilaporkan dalam keadaan stabil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, mangsa berusia 31 tahun mengalami kecederaan di bahagian belakang badan kerana ditikam senjata tajam dipercayai gunting.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 3 petang selepas mangsa masuk ke kedai dobi berkenaan sendirian.
“Ketika berada dalam kedai dobi itu suspek kemudian meluru masuk mengekori mangsa sebelum menikam mangsa dari belakang menggunakan gunting,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Suspek juga memukul dan menendang mangsa menggunakan kaki dan tangan sebelum melarikan diri dengan meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri menggunakan Proton Wira kelabu yang diletakkan di hadapan kedai serbaneka 24 jam bersebelahan kedai dobi itu.
Suspek dipercayai masih bersembunyi dan setakat dilaporkan masih belum ada sebarang tangkapan selain usaha memburu suspek sedang dijalankan.
“Mangsa masih menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil
“Kita juga tidak menerima sebarang laporan kerugian daripada mangsa dan kes disiasat mengikut Sekatan 324/393 Kanun Keseksaan,” katanya.–AlHijrah Online