WANITA PALESTIN SARAT HAMIL DI PENJARA ISRAEL DIBEBASKAN

RAMALLAH: Seorang wanita Palestin Anhar al-Deek yang hamil sembilan bulan dan ditahan Israel di penjara, hari ini dibebaskan.

Bagaimanapun Israel meletakkan syarat untuk Anhar diikat jamin 40,000 shekel atau kira-kira 12,500 dolar Amerika Syarikat (USD).

Selain itu Zionis juga mensyaratkan wanita itu dikenakan tahanan rumah di kediaman keluarganya.

Anhar dilapor bakal melahirkan bayinya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sebelum ini masyarakat dunia mengecam tindakan negara haram tersebut yang memenjarakan Anhar menerusi tanda pagar #saveanhar.

Alhijrah Online juga sebelum ini melaporkan ibu muda berusia 25 tahun itu langsung tidak menerima simpati dan belas kasihan daripada pihak penjara Zionis walaupun sedang sarat hamil selain berkemungkinan besar akan melahirkan bayinya dengan keadaan kakinya bergari.

Anhar ditahan tentera Israel kira-kira lima bulan lepas kerana dituduh cuba melakukan serangan tikaman di sebuah kawasan penempatan haram Israel dekat pekan yang menjadi tempat tinggal mereka.

Beliau bagaimanapun dilapor langsung tidak dibicarakan, malah penahanannya dikatakan dilakukan tanpa sebab munasabah. – AlHijrah Online

Leave a Reply