WARGA EMAS, PENERIMA VAKSIN SINOVAC PERLU AMBIL DOS PENGGALAK SEBELUM 1 MAC

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Status vaksinasi penerima dos vaksin lengkap Sinovac serta warga emas berusia 60 tahun ke atas akan bertukar menjadi tidak lengkap jika tidak mendapatkan suntikan dos penggalak, sebelum 1 Mac depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, suntikan penggalak tersebut perlu diambil bagi mengelak jangkitan lebih teruk terutamanya dengan lonjakan kes berkaitan varian Omicron.

Tambahnya, individu terlibat yang tidak mengambil dos penggalak tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19 termasuk beberapa sekatan ke atas mereka

“Mulai 1 Mac, sijil vaksinasi digital mereka akan bertukar status daripada kuning kepada putih, bermakna mereka tidak diberi vaksin sepenuhnya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) meminta supaya individu berusia 60 tahun ke atas segera mendapatkan dos penggalak dan boleh datang secara secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Khairy, kira-kira satu juta atau 32 peratus warga emas dikenal pasti masih belum mengambil dos penggalak vaksin COVID-19.—AlHijrah Online

Leave a Reply