WARTAWAN DITEMUI MATI DALAM KERETA

ALOR SETAR: Seorang wartawan akhbar Cina ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya di depan sebuah pasar raya di Alor Setar, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa yang dikenalpasti adalah wartawan Sin Chew Daily, Ng Eng Boon, 44.

Kata Ahmad Shukri mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di dalam kereta miliknya yang diletakkan di depan pasar raya terbabit.

Tambah beliau pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 4.07 pagi mengatakan terdapat seorang individu tidak sedarkan diri dalam kenderaannya.

Ketika kejadian enjin kereta masih hidup dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk ujian saringan COVID-19 dan bedah siasat. – AlHijrah Online

Leave a Reply