YWM SUMBANG RM82,575 KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR

SEMENYIH: Demi membantu mereka yang memerlukan terutama golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 di Selangor dan Kuala Lumpur, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM82,575.

Menurut kenyataan YWM, menerusi Dana Wakaf Tunai Khas Masjid, sejumlah RM33,000 daripada jumlah tersebut disumbangkan kepada Masjid Qaryah Kampung Rinching Hulu, di sini, bagi tujuan membaik pulih bumbung masjid.

“Dana Wakaf Tunai Khas Masjid merupakan salah satu produk wakaf YWM yang diwujudkan bagi memenuhi hasrat pewakaf supaya dana yang diwakafkan digunakan khusus bagi tujuan pembangunan masjid,” kata kenyataan tersebut.

Sumbangan itu diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada nazir masjid tersebut, Samsuddin Md Yassin hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin,

Selain itu sumbangan turut disalurkan YWM di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur di bawah Program Bantuan Dana PERLU YWM.

Penerima sumbangan program tersebut terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), pengusaha bas, ibu tunggal, institusi pendidikan dan murid-murid sekolah dari kalangan keluarga B40.

“Sejumlah RM21,150 diperuntukkan bagi menyediakan pek sumbangan makanan keperluan kepada 423 keluarga manakala RM28,425 disediakan bagi sumbangan tablet, komputer riba dan mesin pencetak yang melibatkan empat buah sekolah iaitu SK Sungai Serdang, Kapar; SK Samudra, Batu Caves; SK Batu 9, Cheras; dan SMK Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya dan juga kepada tiga buah keluarga yang memerlukan,” kata kenyataan tersebut.

YWM menjelaskan Program Bantuan Dana PERLU diwujudkan bagi membantu meringankan beban pihak-pihak terjejas pendapatan selaras dengan pelancaran Musa’adah 3.0 pada 1 Jun lalu.

Di bawah Program Bantuan Dana PERLU sejumlah RM268,033 berjaya dikumpulkan setakat 18 Julai dengan RM127,950 telah diagihkan.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang dalam Program Dana PERLU, boleh berbuat demikian menerusi akaun Yayasan Waqaf Malaysia bernombor 8602218186 (CIMB Islamic Bank Berhad).

Selain itu sumbangan juga boleh dibuat bagi Program Dana PELAJAR menerusi laman web http://www.ywm.gov.my/wakaf-online dan memilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan untuk berwakaf. — AlHijrah Online

Leave a Reply