14 PEMANCING, EMPAT KRU DISELAMATKAN BOT NELAYAN

LANGKAWI: Semua 14 pemancing dan empat kru yang dilapor hilang selepas bot yang dinaiki mereka dikhuatiri karam dipercayai dipukul ribut di sini, hari ini, dilaporkan selamat.

Perkara itu disahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis dan memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN – BOT KARAM, 18 ORANG DIKHUATIRI HILANG

“Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam pelayaran ke kedudukan bot nelayan yang dilaporkan menyelamatkan mangsa.

“Kita masih dalam usaha menyelamat,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan APMM Kedah dan Perlis.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 2 petang hari ini, bot terbabit dikhuatiri karam pada kedudukan 9.4 batu nautika Barat Pulau Beras Basah di sini dan dilaporkan membawa kumpulan pemancing dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut pasukan SAR, menerusi sektor operasi yang diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika, mereka menemui beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply