14,306 JEMAAH MALAYSIA DIBENAR TUNAI HAJI BAGI 2022

KUALA LUMPUR: Kuota jemaah haji Malaysia bagi tahun 2022/1443H adalah sebanyak 14,306 orang iaitu 45 peratus dari jumlah kuota tahunan sebenar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Ahmad berkata, peratusan kuota jemaah tersebut juga diguna pakai di seluruh negara.
Ujarnya, Tabung Haji akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dan bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.
“Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan seramai hanya satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini atau 40 peratus daripada jumlah 2.5 juta pada tahun 2019.
“Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas,” katanya dalam Pengumuman Khas Kuota Haji 2022, hari ini.
Idris berkata, jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan.
Sementara itu, bantuan pembayaran haji tetap akan diteruskan oleh TH bagi para bakal jemaah haji pada tahun ini sementara ketetapan bayaran baharu para jemaah haji akan diumumkan pada 22 April (Jumaat).—AlHijrah Online