20 PENUNJUK PERASAAN TERBUNUH DI IRAQ

KARBALA: Sekurang-kurangnya 20 penunjuk perasaan terbunuh dan lebih 600 cedera hari ini susulan percubaan pasukan keselamatan Iraq dalam menyuraikan kem perusuh di selatan bandar Karbala, demikian menurut laporan media tempatan.

Agensi berita Anadolu melaporkan, sumber keselamatan sebelum ini berkata, polis anti-rusuhan digerakkan untuk menyuraikan “penempatan haram” perusuh di tengah bandar Karbala.

Sumber keselamatan itu berkata perusuh tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya mereka berpindah.

Terdahulu, Gaafar al-Saadi yang juga seorang saksi berkata, beratus lelaki bersenjata menyerang lokasi di tengah bandar Karbala itu.

“Mereka melepaskan tembakan secara rawak ketika kenderaan polis merempuh ke arah perusuh menyebabkan sekurang-kurangnya sepuluh mangsa maut,” katanya.

Seorang saksi lain, Alaa al-Sherifi berkata, ambulans tidak sempat untuk memindahkan mangsa cedera pada jam pertama pemindahan berikutan serangan tembakan bertalu-talu oleh pasukan keselamatan.

“Serangan oleh pihak keselamatan ini memang tidak wajar” katanya.

Lebih 100 mangsa terbunuh dan lebih 3,600 tercedera sejak gelombang kedua rusuhan bermula di beberapa daerah Iraq sejak Jumaat, menurut sumber hak asasi manusia.

Kemarahan memuncak di Iraq saban tahun berikutan permasalahan pengangguran dan rasuah berleluasa. Rakyat di negara itu mengalami akses yang terhad untuk keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih.

Menurut perangkaan Bank Dunia, jumlah pengangguran remaja Iraq adalah 25 peratus. Iraq juga menduduki tempat ke-12 negara paling banyak menerima rasuah mengikut beberapa agensi. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply