20 UNIVERSITI AWAM KURANGKAN YURAN PELAJAR

PUTRAJAYA: Sejumlah 20 Universiti Awam (UA) bersetuju untuk mengurangkan beberapa jenis yuran bagi membantu pelajar yang terjejas dalam menghadapi masalah kewangan, bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/20.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan, antara yuran yang dikurangkan ialah yuran perkhidmatan, yuran asrama, yuran konvokesyen, dan yuran aktiviti kolej dengan purata 10 hingga 35 peratus.
Ujar kenyataan KPT pengurangan itu akan bermula dari semester kedua sesi akademik 2019/2020 sehingga hari ini.
“Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.
“Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh Universiti Awam. Manakala, bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan,” dalam kenyataannya.
Inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi manfaat 386,142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester.
Kementerian tersebut menjelaskan bahawa langkah yang diambil itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibubapa.
KPT juga berpandangan kadar pengurangan yang dimaklumkan adalah munasabah memandangankan 20 UA itu terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini.—AlHijrah Online