20,000 KEMBALI KE SEKOLAH DI UTARA SYRIA SELEPAS TURKI HAPUS PENGGANAS

ANKARA: Kira-kira 20,000 pelajar yang dinafikan akses pendidikan selama beberapa tahun ekoran aktiviti keganasan YPG/PKK di utara Syria, mula kembali ke bilik darjah selepas kawasan itu dibersihkan daripada pengganas, demikian menurut kenyataan rasmi Turki semalam.
Memetik laporan agensi berita Anadolu, pelajar di Tal Abyad dan Ras al-Ayn, kedua-dua kawasan dibersihkan daripada pengganas susulan Operasi Peace Spring di utara Syria, memulakan sesi pembelajaran mereka di sekolah yang dibaik pulih di bawah kelolaan pejabat kerajaaan Turki di wilayah Sanliurfa, sempadan Syria melalui sokongan Pusat Sokongan dan Koordinasi Syria (SUDKOM), kata kenyataan pejabat itu.
Sementara itu, 790 guru dan 15,200 murid menyambung pelajaran di 160 sekolah di Tal Abyad selain 172 guru dan 4,720 pelajar memenuhi 20 sekolah di Ras al-Ayn, kata kenyataan itu.
Persatuan Bantuan Kemanusiaan Ataa dengan penyelarasan agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) mengedarkan 75 alat pemanas diesel dan 3,330 liter minyak kepada sekolah.
Beberapa aktiviti sukan dan sosial juga disediakan di sekolah oleh institusi berkaitan di kawasan terbabit.
Turki melancarkan Operasi Peace Spring pada 9 Oktober lalu untuk menghapuskan pengganas YPG/PKK daripada utara Syria dan timur Sungai Euphrates untuk memastikan keselamatan sempadan Turki, membantu kepulangan pelarian Syria dan untuk memastikan integriti wilayah terbabit. — Terjemahan AlHijrah Online