24 ETNIK ROHINGYA LEMAS DI LANGKAWI

LANGKAWI: Seramai 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak asetnya Bot PELINDUNG 2 ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada pihak polis pada jam 10.30 malam mengenai kejadian tersebut.

Berdasarkan maklumat pihak polis, pengadu yang juga salah seorang PATI telah terjun dari sebuah bot bersama 24 orang yang lain dan hanya beliau yang terselamat berenang ke daratan.

Pengadu yang bernama Nor Hossain berumur 27 tahun telah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Operasi pencarian diteruskan hari ini melibatkan dua buah aset laut iaitu Kapal Maritim (KM) Gagah, Bot PELINDUNG 2 dan sebuah aset udara milik Maritim Malaysia iaitu pesawat AW 139 yang akan melibatkan sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Pulau Langkawi.

Jelas Mohd Zawawi, pihaknya juga telah menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain dan komuniti nelayan setempat dalam usaha mencari.

Malah katanya, pihak berkuasa Thailand turut dimaklumkan bagi membantu pencarian mangsa. – AlHijrah Online.

Leave a Reply