ABDUL RASHID HUSSAIN TOKOH MAULIDUR RASUL 2023 DILANTIK PENGERUSI TH

KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Anggota Lembaga dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuatkuasa 20 Disember 2023.

Abdul Rashid Hussain telah dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M atas sumbangannya kepada negara dan masyarakat terutama dalam bidang korporat.

Beliau merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang telah mengasaskan Kumpulan RHB, antara kumpulan perbankan terbesar di Malaysia.

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998 serta berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000.

“Abdul Rashid Hussain juga diantara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji.

“Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan Dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 Hingga 2020 telah dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan,” kata Mohd Na’im.

Abdul Rashid juga adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kata Mohd Na’im pengalaman luas Abdul Rashid amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia disamping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Azman Mokhtar (bekas Pengerusi TH) atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya semua warga TH,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply