“ADA PIHAK YANG HIPOKRIT DALAM ISU PALESTIN” – ANWAR

NEW YORK: Konflik Palestin-Israel antara yang menjadi tumpuan utama Kenyataan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNGA ke-78, di New York, Amerika Syarikat.
Jelas Perdana Menteri, ketika kezaliman dan penindasan berlaku ke atas rakyat Palestin, namun terdapat pihak yang munafik atau hipokrit dalam isu berkenaan.
“Terdapat kemunafikan yang nyata dalam mendepani isu Palestin. Masyarakat antarabangsa mesti bersuara menentang kekejaman pihak-pihak yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, biar pun pihak berkenaan bersuara dengan tegas menentang pencabulan hak asasi manusia, ketidak-adilan dan rejim yang menindas.”
Tambah Anwar, politik mengusir dan merampas tanah yang dimiliki rakyat Palestin semakin rakus dilakukan, dalam usaha membina lebih banyak penempatan haram.
“Ini jelas satu pelanggaran yang berat terhadap undang-undang antarabangsa, malah menterjemah halangan lebih besar kepada penyelesaian dua negara, apatah lagi siri pembunuhan masih berterusan.”

Ucapan Datuk Seri Anwar yang berlangsung selama kira-kira 17 minit itu turut mendapat tepukan gemuruh daripada delegasi negara-negara lain yang menyokong Kenyataan Negara yang disampaikan.
Ia turut disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen utama negara, termasuk TV Alhijrah. –Alhijrah Online