DENDAM MOTIF REMAJA DIBUNUH DENGAN 18 KESAN TIKAMAN

MELAKA: Dendam dipercayai menjadi motif seorang pemuda dibunuh kejam dengan 18 kesan tikaman sebelum mayatnya ditemui dalam semak berhampiran kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, Sabtu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata selepas penemuan mayat mangsa bernama R Darvnrajh, 24, pihak polis telah melancarkan operasi khas “Op Kejam”.
Operasi ini dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
Enam lelaki berusia 18 hingga 26 tahun termasuk rakan mangsa ditahan di Tampin, Negeri Sembilan, minggu lalu.
Siasatan dijalankan mendapati punca mangsa dibunuh kerana rasa tidak puas hati membabitkan dendam lama, iaitu kejadian ketika sambutan Deepavali tahun lepas.
“Difahamkan pada sambutan Deepavali ketika itu suspek ada membawa mercun dengan menggunakan motosikal ke taman perumahan berhampiran kediaman mangsa.
“Keluarga mangsa ada menegur dan membuat laporan polis yang menyebabkan suspek ditangkap,” katanya.
Tambahnya siasatan polis mendapati kira-kira jam 10.30 malam pada 9 September, semua suspek menaiki sebuah kereta untuk minum arak di Taman Indah dan mabuk.
Dalam perjalanan pulang kira-kira jam 5.30 pagi, suspek terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara dan menariknya masuk ke dalam kereta sebelum dipukul.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Kemuning, sebelum suspek menikam dan menetaknya menggunakan parang panjang.
Semua suspek direman sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –AlHijrah Online