AGONG, RAJA PERMAISURI ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA SITI SARAH

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Siti Sarah Raissuddin yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 5.13 pagi, hari ini.

Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” kata hantaran tersebut.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 5.13 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Proses pengebumian berjalan dengan lancar yang diuruskan petugas-petugas pengebumian serta suaminya, Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad, dengan berpakaian lengkap PPE serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan dengan pusara ibunya, Allahyarham Noor Aini Mohamad.

Siti Sarah sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan COVID-19.


Allahyarham pada Jumaat terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan selepas tahap oksigen menurun.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alwarni, 10 tahun; Dzahira Talita Zahra, 8 tahun; Ariq Matin, 6 tahun dan Ayash Affan yang selamat dilahirkan Jumaat lalu.

Pada 27 Julai lalu, Shuib sekeluarga disahkan positif COVID-19 dan telah menjalani kuarantin di rumah.—AlHijrah Online

Leave a Reply