AGONG TITAH RAKYAT BANTU BENDUNG WABAK COVID-19

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Menitahkan rakyat Malaysia untuk sama-sama berperanan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak orang ramai membatalkan hasrat balik kampung serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

“Saya juga minta batalkan hasrat untuk balik kampung dan jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah,” titah Seri Paduka dalam Titah Diraja mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen utama negara malam ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan mencegah penularan COVID-19 bermula dengan amalan kebersihan diri masing-masing seperti kerap membasuh tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan memakai penutup hidung dan mulut  serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Rakyat diminta supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bermula pada 18 hingga 31 Mac, jangan keluar  rumah jika tiada keperluan penting,” titah Yang di-Pertuan Agong pada hari ketiga perintah kawalan itu dikuatkuasakan.

Al-Sultan Abdullah menasihati orang ramai untuk menangguhkan sebarang majlis perkahwinan sehingga keadaan pulih bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan menyebabkan risiko jangkitan COVID-19. 

Mengajak rakyat memberi kerjasama sepenuhnya menjayakan tindakan kerajaan mengawal penularan wabak itu dalam tempoh dua minggu ini, Seri Paduka menitahkan rakyat supaya tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat patuh kepada arahan pihak berkuasa dan tidak menyebar berita palsu.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wababk ini, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sebanyak 130 kes positif COVID-19 baharu dikesan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes direkodkan di Malaysia sebanyak 1,030 kes. — BERNAMA

Leave a Reply