35,000 GURU KAFA DIBAYAR ELAUN PENUH KETIKA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

KUALA LUMPUR: Selepas nasib guru takmir dibela, kerajaan memutuskan kesemua 35,000 guru KAFA di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19, akan dibayar elaun penuh.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata agensi itu menyedari kesulitan dihadapi guru KAFA yang tidak dapat melaksanakan tugas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan hingga 31 Mac depan

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju pembayaran elaun penuh RM1,000 kepada guru KAFA diteruskan bagi Mac 2020 walaupun sesi pembelajaran tidak diadakan dalam tempoh itu.

“Inisiatif ini selari dengan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang melancarkan kempen #musaadahcovid19 bagi membantu mereka yang terjejas dengan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Ketua Pengarah JAKIM hari ini.

Semalam, JAKIM mengumumkan 4,000 guru takmir masjid akan tetap dibayar elaun penuh RM800 walaupun tidak mengajar susulan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Rabu lalu dalam usaha drastik mengekang penularan COVID-19 yang setakat ini merekodkan tiga kes maut dan lebih 1,000 kes jangkitan di Malaysia.

Pasukan tentera juga akan dikerahkan ke jalanan esok bagi membantu polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan rakyat. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply