AHLI POLITIK PERLU HENTI KELUAR FATWA SECARA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB – SULTAN SELANGOR

KUALA LUMPUR: Rakyat terutama pemimpin politik diingatkan agar segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah kerana tindakan sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

“Ingatan beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik. Malah beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik.

“Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menyeru kepada pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Ia agar menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada pihak yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan.

Dalam pada itu baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam bertitah fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti negeri setelah mendapat perkenan dari raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu fatwa itu.

Selain itu, Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan mufti-mufti dari setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenaan dari Majlis Raja-raja.

“Sesuatu Fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli samada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama’ dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat. Sebaliknya sekiranya Fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang-orang politik dan pemimpin-pemimpin politik ianya akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menegaskan Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam sentiasa terjamin selain bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia.

Baginda menyeru semua pemimpin politik khususnya mereka yang senior dan veteran supaya mengelak dari memecahbelahkan rakyat di negara ini sebaliknya mengambil pendekatan bagi menanam dan memupuk semangat perpaduan yang erat di kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara. — AlHijrah Online

Leave a Reply