AKIBAT TEKANAN, SUAMI KURUNG ISTERI DAN ANAK DALAM RUMAH

SEREMBAN: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami tekanan perasaan mengurung isteri dan dua orang anaknya dalam sebuah kediaman di Taman Nusa Intan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, wanita dan dua anaknya berusia setahun dan empat bulan itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Senawang selepas polis menerima laporan daripada jiran.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8.51 malam itu, suami mangsa yang berada dalam rumah bertindak mengunci pagar, gril dan pintu belakang rumah mereka dari dalam dipercayai selepas mengalami tekanan perasaan.

“Pasukan penyelamat cuba memujuknya supaya membuka pintu namun dia enggan memberikan kerjasama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Lelaki berusia 31 tahun dipercayai mengurung isteri dan dua anaknya sejak pagi.

Berdasarkan laporan Berita Harian, suami mangsa dilihat mula berubah selepas hilang pekerjaan dan tekanan dialami memuncak sejak beberapa hari lalu, sehingga bertindak merosakkan telefon bimbit wanita itu.

Lelaki tersebut dilapor hilang pekerjaan sebagai jurujual kereta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Hasil siasatan polis mendapati, lelaki berkenaan mempunyai rekod masalah mental dan polis telah menyerahkan lelaki itu kepada keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Isteri dan dua anak lelaki itu dilapor dihantar ke rumah jiran terdekat sebagai langkah keselamatan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. — AlHijrah Online

Leave a Reply