ANGGOTA POLIS CEDERA, KHEMAH RUNTUH DI SJR

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis trafik cedera semasa bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta, selepas bumbung sebuah khemah runtuh akibat angin kencang, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian tersebut berlaku semasa anggota polis tersebut sedang berteduh di dalam khemah yang didirikan di laluan menghala masuk ke pusat bandar.

Tambahnya, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan bahagian bumbung khemah itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap anggota polis itu, sekali gus mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mangsa, Koperal Nazmi Abdullah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Zulkefly turut melawat mangsa di HKL bagi memberikan kata-kata semangat serta mendoakan semoga Nazmi kembali sembuh dan tidak patah semangat dalam menjalankan tugas.–AlHijrah Online

Leave a Reply