KES BUNUH SITI SURYA: PELAJAR PEREMPUAN DIHADAPKAN KE MAHKAMAH

MARANG: Seorang pelajar perempuan tingkatan enam, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, atas pertuduhan membunuh rakannya sendiri, pagi tadi.

Tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 19, berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, pada 1 November di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes mahkamah.
  
Juga tiada sebarang jaminan ditawarkan ke atas tertuduh.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazlan Md Zain.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bertudung hitam tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang kira-kira jam 9.40 pagi.

Beberapa ahli keluarga tertuduh termasuk bapa dan ibunya turut berada di pekarangan mahkamah tersebut. –AlHijrah Online

Leave a Reply