ANUGERAH KHAS MA‘AL HIJRAH KATEGORI PENDAKWAH MUALAF DIPERKENALKAN

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan akan memperkenalkan kategori pendakwah mualaf.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini bagi memberikan penghargaan dan dorongan terhadap kegigihan saudara muslim mendalami ajaran Islam agar menjadi contoh dan pembimbing kepada saudara muslim yang lain.

Dalam pada itu JAWI memaklumkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M akan diadakan pada 2 Ogos 2022, Selasa, bersamaan 4 Muharam 1444H dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik

Sambutan itu akan diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Program Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan akan dimulakan dengan Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1444H pada 29 Julai 2022 (Jumaat) sebelum solat fardu Maghrib serentak di semua 89 masjid, 123 surau Jumaat, dan 611 surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menurut JAWI, acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1444H/2022M bagi kategori Ilmuwan, Korporat, Pendakwah Mualaf, dan Kategori Imam.

“Selain itu, pengisian utama Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pada kali ini ialah Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Luqman Abdullah dan Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya.

“Kedua-dua ahli panel itu akan mengupas topik menarik bertemakan ”Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, yang dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” kata kenyataan tersebut.

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan diadakan bertujuan memperingati dan mengambil pengiktibaran dari peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW supaya dapat diamalkan dalam kehidupan.

Selain itu, majlis tersebut juga diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada individu yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan dan kesejahteraan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Sesuai dengan tema Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ”Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, elemen pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah harus dihayati dalam usaha membangunkan masyarakat melalui nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Umat Islam perlu menjauhi segala perkara yang boleh merosakkan keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan,” kata JAWI. – AlHijrah Online

Leave a Reply