ARAB SAUDI KENAKAN CAJ BAHARU 300SAR SETIAP VISA HAJI

Last Updated on

5

SEPANG: Kerajaan Arab Saudi akan mengenakan bayaran 300 Saudi Riyal (SAR) (bersamaan kira-kira RM326) ke atas setiap jemaah bagi setiap visa yang dikeluarkan mulai musim Haji 1441H/2020M, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata kerajaan Arab Saudi menetapkan caj berkenaan, yang merupakan perkara baharu diperkenalkannya, kepada jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ini (visa) benda baharu diperkenalkan oleh Arab Saudi dan (Malaysia) tiada pilihan melainkan untuk menerima keputusan yang dibuat oleh negara itu.

“Di samping itu, Arab Saudi memansuhkan bayaran 2,000 Saudi Riyal (kira-kira RM2,171) yang dikenakan bagi jemaah haji berulang iaitu mengerjakan ibadah haji lebih daripada sekali,“ katanya kepada pada sidang media khas sejurus tiba di tanah air selepas lawatan tiga hari ke Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mujahid berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh bin Taher Benten berhubung isu-isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian bagi mengatur ketibaan jemaah dari Malaysia dan menguruskan perkhidmatan yang bakal disediakan untuk mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata perjanjian itu menyebut akan mengekalkan inisiatif ‘Road to Makkah’ iaitu fasiliti prapelepasan di KLIA bagi memudahkan semua urusan para jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji 1441H.

“Antara sebab kenapa perkhidmatan ini dikekalkan kerana bagi pihak kita, khususnya TH serta agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan keselamatan kita telah memberikan kemudahan at par, yang sama comparetable dengan sistem yang ada di Arab Saudi.

“Jadi mereka memilih kita sebagai satu destinasi prapelepasan yang sangat berkesan dan menjadi contoh kepada negara lain untuk diikuti,” katanya.

‘Road To Makkah’ adalah satu sistem prapelepasan haji yang menyaksikan jemaah haji diambil cap jari dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas, dan kemasukan mereka ke Arab Saudi akan dipermudahkan seperti penerbangan domestik manakala bagasi mereka akan dihantar terus ke hotel penginapan mereka.

Projek perintis itu dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif berkenaan dilancarkan sepenuhnya pada 2018 di beberapa negara terpilih dan ia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Nasional Kerajaan Arab Saudi (2020) untuk mencapai Wawasan 2030 negara itu.

Mujahid berkata kerajaan Arab Saudi juga bersedia meneruskan projek perintis EYAB iaitu inisiatif bagi memudahkan urusan perjalanan pulang jemaah haji ke negara masing-masing, yang akan disediakan di terminal khas di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah.

“Ini merupakansatu lagi pencapaian dalam rundingan kita yang membuktikan tahap kepercayaan (Arab Saudi) kepada kita,” kata Mujahid.

Pada 2019, Malaysia antara tiga negara dipilih kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan projek perintis EYAB iaitu inisiatif bagi memudahkan urusan perjalanan pulang jemaah haji ke negara masing-masing

Projek perintis EYAB, yang merupakan kesinambungan Makkah Route akan dilaksanakan sepenuhnya kepada semua penerbangan membawa jemaah haji Malaysia pada musim haji kali ini. — BERNAMA

Leave a Reply