ARAK TIMAH: TUKAR NAMA ARAK KEPADA YANG LAIN

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar arak tempatan jenama Timah digesa untuk menukarkan namanya kepada yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, nama itu boleh menimbulkan kekeliruan dan provokasi.

“Setuju tukar nama, sepatutnya benda bersifat provokasi ini jangan wujud.

“Nama yang boleh timbulkan kekeliruan, arak tetap haram atas nama apa pun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Jelasnya, beliau tidak bersetuju dengan pemilihan nama tersebut yang jelas cuba untuk mewujudkan normalisasi.

Tambah Idris, umat Islam tetap diharamkan untuk minum minuman keras walaupun dilabel dengan sebarang nama, seperti yang dijelaskan dalam agama Islam.

“Dalam hadis Nabi Muhammad SAW pun ada sebut akan berlaku dalam kalangan umatku nanti, manusia akan minum arak dengan pelbagai nama. Kita tidak boleh letak nama begitu,” katanya.

Idris juga memaklumkan bahawa pihaknya akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor turut menggesa kerajaan untuk mengarahkan syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan itu agar segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan.—AlHijrah Online

Leave a Reply