PDRM DAPATKAN PENGESAHAN AUSTRALIA BERHUBUNG KEBERADAAN SAJJAD

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Australia mengenai dakwaan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang dikatakan berada di Australia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM sudah berhubung pihak berkuasa Australia bagi mendapatkan kepastian mengenai maklumat tersebut.
“Kita tidak dapat sahkan lagi berkenaan Sajjad berada di Australia. Kita akan rujuk juga kerajaan Thailand selain Australia dan dapatkan pengesahannya terlebih dahulu mengenai status kedudukan semasa mengenainya,” katanya, hari ini.
Ujar Abd Jalil, PDRM akan bertindak selepas pihaknya memperoleh pengesahan tentang keberadaan Sajjad berlandaskan undang-undang sedia ada.
Terdahulu, Abd Jalil mengatakan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat yang mengesahkan dakwaan Sajjad sudah berhijrah dari Thailand ke Australia.
Media melaporkan Sajjad telah berpindah ke Australia secara rasmi selepas videonya tular di media sosial yang menyatakan dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia.—AlHijrah Online