ATM BANTU HTAR URUS MAYAT COVID-19

KLANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar bantuan aset dan anggota bagi membantu menguruskan mayat pesakit COVID-19 yang bertambah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, bantuan dan kerjasama ATM tersebut adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dengan pihak ATM.

“ATM akan membantu mempercepatkan urusan untuk membawa mayat-mayat berkenaan bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing dan aset-aset ATM juga boleh digunakan bagi tujuan ini.

“Hasil bantuan ATM nanti dapat menampung kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) di Pejabat Kesihatan Daerah Klang. Sebelum ini, IK yang menguruskan pengebumian jenazah berkenaan,” katanya.

Zulkarnain berkata demikian selepas diminta mengulas sebuah video tular memaparkan keadaan mayat pesakit COVID-19 yang terpaksa diletakkan di lantai secara berlapis di HTAR selepas bilik mayat berada pada tahap kapasiti penuh.

Memetik laporan Harian Metro, beliau mengesahkan mayat terbabit positif COVID-19, bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar jenazah yang berada di HTAR ketika ini.

Beliau memaklumkan prosedur meletakkan ‘tagging’ pada mayat terutama nama mereka dan butiran lain dilaksanakan dengan cukup teliti bagi memudahkan urusan pengebumian.

“Kesemua mayat sudah ditempatkan dalam kontena sejuk beku dengan suhu negatif 11 darjah celcius bagi mengelakkan berlaku pereputan,” katanya.

Zulkarnain berkata tempat penyimpanan mayat setakat ini mencukupi dengan sumbangan tiga buah kontena yang mana dua daripadanya hasil pemberian kerajaan.

Tambahnya, kes kematian akibat COVID-19 tinggi di HTAR disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat terdiri daripada pesakit kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

Perkara itu katanya mungkin terjadi disebabkan kelewatan untuk mendapatkan rawatan yang menyebabkan kebarangkalian untuk sembuh agak tipis. –AlHijrah Online

Leave a Reply