BANTUAN HAJI 1441H DITERUSKAN: TH

Last Updated on

9

KUALA LUMPUR: Bantuan haji masih diteruskan untuk Musim Haji 1441H/2020, demikian menurut Tabung Haji (TH) dalam pengumuman dimuatnaik di laman Facebooknya hari ini.

Susulan itu, bakal haji Muassasah yang akan menunaikan haji kali pertama tahun ini, termasuk yang berjaya dalam rayuan haji, hanya perlu membayar RM9,980 seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi yang merayu, keutamaan pemilihan akan diberi kepada mereka yang membuat rayuan mahram, lanjut usia serta pembantu lanjut usia dan mereka yang telah terpilih pada tahun sebelum ini tetapi terpaksa menangguh pemergian haji.

“Keutamaan pertimbangan juga akan diberikan kepada mereka yang giliran menunaikan haji pada tahun berikut 1442H/2021,” kata TH dalam pengumuman itu.

TH juga memperkenalkan Borang Rayuan Haji yang seragam bagi meningkatkan proses rayuan haji sebagai usaha penambahbaikan.

“Borang ini memberi ruang kepada sesiapa yang merayu dan jika terpilih, mereka boleh secara sukarela bersetuju untuk membayar penuh RM22,900 untuk tunai haji secara Muassasah,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, TH sudah memberi pilihan kepada jemaah haji Muassasah untuk membayar penuh dan jika tidak memilih untuk membayar penuh, bayaran haji RM9,980 kekal. — AlHijrah Online

Leave a Reply