KORONAVIRUS: ADVOKASI MEDIA VS PEMIKIRAN NEGATIF

Menjelang lebih sebulan penularan wabak Coronavirus (2019-nCoV) yang dipercayai berpunca daripada amalan budaya pemakanan haiwan liar, terutamanya di Wilayah Wuhan dan Hubei di China, sehingga hari ini meragut lebih 106 mangsa dan lebih 4,500 disahkan dijangkiti penyakit itu.
Beberapa negara, termasuk Malaysia sudah menguatkuasakan sekatan terhadap pelancong dari China ke negara-negara berkenaan. Fenomena ini mengejutkan dunia selepas krisis wabak SARS ditularkan dari China beberapa tahun lalu dan meragut ribuan mangsa ketika itu.
Malaysia akan terkesan teruk dengan keputusan Kerajaan untuk mengawal dokumentasi visa pelancong dari Republik China, sekali gus menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Kebimbangan yang semakin ketara terhadap kesan isu wabak itu apabila media di seluruh dunia menyebarkan maklumat berkaitan fakta dan andaian-andaian terhadap penyebaran virus tersebut secara meluas di negara-negara Asia, turut memberi kesan yang serius kepada persepsi masyarakat mengenai kualiti keselamatan lebih jutaan penduduk di kawasan-kawasan sasaran wabak tersebut.
Berdasarkan kajian-kajian terhadap keberkesanan peranan media mengenai pengawalan maklumat semasa berlakunya krisis wabak seperti ini, suatu pendekatan advokasi yang berteraskan kepada penyaluran maklumat secara strategik harus dilaksanakan.
Punca kegagalan penyaluran maklumat kepada masyarakat tanpa menghiraukan sikap, tingkah laku, pemikiran dan persepsi mereka telah menyebabkan strategi advokasi mengekang pemikiran negatif masyarakat terjejas.
Lambakan maklumat palsu yang tular di media massa tanpa dikawal, ternyata merupakan provokasi maklumat tanpa asas fakta yang jelas dan adil.
Lebih terkesan lagi apabila maklumat-maklumat yang tidak menpunyai asas bukti secara saintifik, dijadikan bahan oleh pihak-pihak tertentu untuk menuding kerajaan kononnya gagal menangani wabak ini dengan baik.
Satu hal lagi, dengan kecetekan pengetahuan masyarakat mengenai penularan wabak ini, menyebabkan mereka gagal diberi pemahaman dan penafsiran yang komprehensif mengenai kesan wabak ini kepada manusia.
Kekaburan dalam kalangan masyarakat mengenai kaedah pembasmian penularan wabak tersebut, telah merumitkan lagi usaha kerajaan untuk menyakinkan orang ramai mengenai implikasi penyakit itu dan setakat mana isu tersebut dikendalikan dengan prosedur SOP yang telah ditentukan.
Dalam erti kata lagi, media sangat berperanan untuk mendidik dan memperbetulkan fakta berkaitan dengan strategi kerajaan menangani isu ini dengan leboh komprehensif dan tidak menimbulkan apaa-apa spekulasi rambang terhadap maklumat palsu yang tersebar di media massa pada masa kini.
Justeru, Kerajaan harus mengaturkan strategi intervensi berdasarkan kepada pendekatan advokasi strategi komunikasi berkesan dan tidak bertumpu kepada isu penularan wabak penyakit semata-mata.
Reputasi terhadap pemeliharaan dan pengawalan kesihatan harus diberi keutamaan. Ia mengambil kira aspek-aspek seperti;
⢠Mewujudkan suatu Pusat Maklumat Respons Media terhadap Isu Komunikasi yang boleh disifatkan sebagai krisis kepada masyarakat dan negara. Pusat maklumat ini seharusnya menjadi one-stop centre, dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan agensi-agensi Kerajaan terlibat. Pengurusan isu di peringkat perancangan strategik, operasi dan situasi isu harus dibuat secara bersepadu dengan mengawal penerbitan maklumat dari suatu sumber sahaja. Pengurusan Komunikasi Krisis harus dilaksanakan secara komprehensif berdasarkan gambaran sebenar krisis yang berlaku, sasaran kelompok komuniti yang terjejas, peringkat mana krisis itu menjejaskan situasi keselamatan dan kesihatan serta persepsi negatif masyarakat terhadapnya. mekanisme pengawalan krisis itu dapat dipantau dan dilaksanakan dengan lebih berkesan pada peringkat awal;
⢠Merangsang satu koordinasi pengurusan kerja di antara Kerajaan dengan agensi-agensi yang berkepentingan dengan lebih sistematik supaya hanya maklumat yang telah disaring untuk diterbit menerusi media massa seperti menghebahkan kempen-kempen advokasi pengiklanan, garis panduan yang jelas yang mewujudkan suatu perkongsian nilai pemahaman masyarakat yang jelas mengenai krisis wabak isu berkenaan;
⢠Dalam era komunikasi digital hari ini, penyebarluasan maklumat mengenai krisis isu ini seharusnya dirancang dengan lebih komprehensif, bersepadu dan berfokus. Maklumat seharusnya disampaikan secara telus, mudah difahami dan tidak berorientasikan kepentingan sesuatu institusi atau organisasi tertentu. Ia tidak seharusnya menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat dan tidak mendatangkan spekulasi negatif terhadap sosio-politik dan ekonomi negara sekiranya isu krisis itu dapat ditangani dengan baik. Dalam hal ini, para pemimpin masyarakat seharusnya menjadi contoh dengan menyalurkan maklumat dengan tepat dan bijak meneliti jangkaan masyarakat terhadap krisis isu yang tular di media sosial.
⢠Pada setiap peringkat permulaan dan pengakhiran krisis isu ini, kerajaan harus mengenalpasti dan memahami semua bentuk tindakan yang telah dilaksanakan, sama ada memberi manfaat dan implikasi yang berkesan kepada masyarakat atau sebaliknya. Kewibawaan dan akauntabiliti peranan kerajaan dan media harus dinilai berdasarkan kepada keyakinan masyarakat terhadap pengurusan krisis isu yang ditangani mereka. Ia dapat dikesan menerusi perlakuan dan maklum balas terhadap pengendalian krisis isu tersebut.
Dalam erti kata lain, akauntabiliti media terhadap pengurusan perancangan dan operasi penyaluran maklumat adalah faktor penentu kepada pendekatan advokasi media terhadap pembentukan tanggapan masyarakat mengenai krisis isu yang tular di media massa.
Mekanisme pengurusan bersepadu advokasi maklumat media terhadap krisis isu ini boleh mengembalikan reputasi akauntabiliti kerajaan sekiranya penyaluran maklumat yang dibuat menerusi media dibuat secara telus, sistematik dan konsisten kepada masyarakat yang dahagakan maklumat-maklumat pantas dan tepat pada setiap masa. — AlHijrah Online
Penulis adalah pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.