BAYI BERUSIA SETAHUN RENTUNG DALAM NAHAS KEBAKARAN

SANDAKAN: Seorang bayi lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah unit di flat Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, lewat malam tadi.

Bayi yang dikenali sebagai Adam berusia setahun itu rentung sepenuhnya selepas ditemukan bomba di dalam sebuah bilik di rumah tersebut, kira-kira jam 11.05 malam.

Ketua Balai Bomba Sandakan, Jimmy Lagung berkata, bayi itu difahamkan dijaga oleh kakaknya berusia 11 tahun serta ibu dan bapa saudara yang tiada di rumah semasa kejadian berlaku.

Kakak kepada mangsa itu juga dipercayai keluar seketika untuk membeli makanan.

Siasatan awal mendapati penghuni rumah tersebut memasang lilin di setiap bilik kerana tidak mempunyai bekalan elektrik sekali gus dipercayai menjadi punca kebakaran.

Semasa kejadian berlaku, kesemua penghuni sempat menyelamatkan diri namun bayi tersebut tertinggal di dalam rumah tersebut.

Jimmy berkata, seramai 17 anggota bomba dan dua jentera diarahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Kebakaran melibatkan sebuah flat enam tingkat, kebakaran berlaku di tingkat tiga.

“Pihak bomba terima panggilan lebih kurang jam 11.09 malam dan dalam kejadian terdapat seorang mangsa bayi berusia lebih setahun ditemui maut dalam bahagian kanan rumah tersebut,” katanya.

Jimmy berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.56 tengah malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Mayat bayi berkenaan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan bagi tindakan lanjut.–AlHijrah Online

Leave a Reply