SELANGOR TAMBAH BILANGAN JEMAAH SOLAT JUMAAT

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan jumlah ketetapan bilangan jemaah dinaikkan untuk solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran solat Jumaat di Selangor.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, pertimbangan dan keputusan tersebut diambil setelah baginda meneliti data-data terbaharu penularan wabak COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun di Selangor.

“Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

“Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

“Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan, antara 400 hingga 700 jemaah,” kata hantaran tersebut hari ini.

Bagaimanapun, Sultan Selangor menitahkan para jemaah perlu mengambil serius dan terus berhati-hati di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa beribadat di dalam masjid atau surau.

Sultan Sharafuddin juga berharap agar semua rakyat jelata menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan COVID-19.

“Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

“Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sultan Selangor turut menegaskan bahawa rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan “lockdown” seperti sebelum ini yang boleh menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

Baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT agar negeri dan negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka.

Sebagai rekod, mengikut statistik sehingga 27 Oktober 2021, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.–AlHijrah Online

Leave a Reply