BEG SANDANG DITEMUI, PEMANDU HILUX MASIH HILANG

Keluarga mangsa ketika melakukan pengecaman beg mangsa. Gambar kecil : Beg sandang mangsa

BESUT: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai dekat Jambatan Tembila semalam memperolehi petunjuk baru dengan penemuan sebuah beg sandang mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, beg sandang milik Shukri Wahab, 52, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, beg sandang itu ditemui berhampiran tebing sungai kira-kira empat kilometer daripada lokasi kenderaan pacuan empat roda mangsa terjunam.

Ujarnya, ahli keluarga mangsa yang melakukan pengecaman kemudian mengesahkan beg sandang yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai itu adalah milik Shukri.

“Sekarang pasukan mencari dan menyelamat telah melaksanakan operasi dengan mencari di kawasan tebing sungai kiri dan kanan sehingga jarak 4 kilometer berdasarkan petunjuk dimana beg itu dijumpai,” kata Muhammad Basri.

Katanya, selain pencarian di kawasan sungai dengan menggunakan bot, pihaknya juga menggerakkan operasi di daratan dalam radius yang sama selain meminta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel berkaitan – NIAT BAPA HANTAR KAD KAHWIN ANAK BERTUKAR TRAGEDI

Semalam, Berita AlHijrah melaporkan, perjalanan mangsa dari Bachok ke Kuala Terengganu untuk menghantar kad undangan majlis perkahwinan anak perempuannya berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terjunam ke dalam Sungai Tembila di Kampung Pengkalan Kubur. — AlHijrah Online

Leave a Reply