BERMULA DENGAN MINAT BERTUKAR JADI SUMBER PENDAPATAN

KUALA LUMPUR: Minat Dr Sharifah Marzety Adibah Al Sayed Mohamad terhadap keindahan bunga mawar mendorong beliau menjadikan hobinya sebagai sumber pendapatan.

Bekas Pensyarah Kaunseling dan Psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu mengasaskan Zety Roses Legacy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada hortikultur dan produk pertanian lain.

Nurseri yang terletak di Kampung Tanjung Aur, Jalan Pantai Ali, Telemong Hulu Terengganu turut mempunyai salah satu taman mawar terbesar di Malaysia dengan menawarkan rangkaian produk berasaskan mawar seperti barangan kecantikan, air mawar dan minyak wangi.

Dr Zety pernah diuji dengan masalah kesihatan hingga terpaksa berkerusi roda selama setahun namun beliau tidak berputus asa dan menggunakan cabarannya sebagai sumber motivasi untuk fokus pada perniagaannya sepenuh masa.

Atas kerja keras dan dedikasinya, Dr Zetty menerima Anugerah Jenama Berprestij dari World Muslimpreneur.

Beliau menasihatkan para usahawan baharu untuk bekerja keras dan tidak berputus asa dengan apa yang diusahakan.

Menurut Dr Zetty, visi perniagaannya adalah untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk kelestarian alam semula jadi serta merancang untuk mengembangkan perniagaan dengan menawarkan produk makanan berasaskan bunga mawar.

Beliau juga mahu membangunkan resort, tempat seminar, dan dewan perkahwinan yang bakal dihiasi dengan keindahan bunga serta tanaman lain.

Usaha itu untuk menyumbang kepada ekonomi negara dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan Dr Zetty yakin Zety Roses Legacy Sdn Bhd akan terus berkembang dan mekar untuk tahun-tahun akan datang. – AlHijrah Online

Leave a Reply