DRAMA ‘BUJANG HAJI’ PAPAR CABARAN TIGA SAHABAT TUNAI HAJI

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah menerusi slot Qalbu yang memperkenalkan drama-drama baru akan mula menyiarkan drama ‘Bujang Haji’ bermula 8 Jun 2021.

Kisah tiga sahabat yang bercita-cita untuk menunaikan haji itu akan disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa jam 6 petang.

Ia mengisahkan cabaran yang ditempuh tiga sahabat tersebut membuat persiapan menjadi duyufurrahman yang menguji semangat mereka.

Drama yang juga penuh ragam komedi itu dibintangi pelakon utama Chiwan Chilok yang memegang watak Adi, Din Latah sebagai Ucup, dan Aliff Yasraf sebagai Yus.

Karya ZH Emddeisqandarjebat yang diarahkan Isqandar Jebat itu turut dibintangi Jalil Hamid, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun serta penampilan istimewa, Nashah Aziz.

Terbitan drama ini adalah melalui Dana Pembagunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk syarikat produksi filem dan TV kategori filem Careka, Drama, Dokumentari dan Animasi.

Inisiatif Dana ini ditawarkan untuk membantu syarikat-syarikat produksi filem dan TV tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform televisyen dan melahirkan projek industri kreatif yang berkualiti tinggi yang dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Disamping itu juga ia berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19.

TV AlHijrah telah terpilih dalam senarai platform TV yang akan menyiarkan karya-karya terbitan produksi tempatan yang memohon dana ini. — AlHIjrah Online

Leave a Reply