BAYARAN GKP 3.0 BERMULA 10 JUN INI

GAMBAR ARKIB

KUALA LUMPUR: Hampir satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro akan mula menerima bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM1,000 mulai 10 Jun 2021 secara berperingkat.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0 serta PKS mikro yang baharu lulus GKP 3.0.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my ,” kata Tengku Zafrul dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumum pada 31 Mei lalu, tambahan sebanyak RM500 akan dibuat, menaikkan jumlah bayaran GKP 3.0 kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

“Bayaran tambahan sebanyak RM500, melibatkan peruntukan hampir RM500 juta akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Menurut beliau secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara.

Kerajaan katanya berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban PKS terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply