KENAPA TIDAK MUDAH MASUK KE GAZA?

GAMBAR ARKIB SERANGAN DI GAZA / AFP

Palestin tidak lagi trending di media sosial, khususnya Twitter, berbanding dua minggu lalu ketika wilayah Gaza diserang rejim zionis.

Sekalipun berita-berita di Palestin, termasuk situasi terkini di Gaza dan Tebing Barat, masih mendominasi blok terakhir laporan media tempatan, realiti di atas haruslah diakui masyarakat dunia, termasuk di Malaysia.

Perhatian sebilangan pihak yang dulunya bersemangat semakin suram dengan normalisasi maklumat mencurah-curah di media sosial, khususnya kewujudan saluran-saluran telegram yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan tetapi merujuk kepada sumber yang sama.

Dari satu sudut, ia perkembangan positif dalam meningkatkan kesedaran umum kepada isu Palestin, pun begitu maklumat seharusnya diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan situasi “information fatigue” yang boleh menumpulkan tujuan.

Persoalannya, pihak manakah yang konsisten dalam perjuangan isu Palestin? Adakah isu Palestin sekadar untuk mengumpul followers atau menjana laba dari situasi di Palestin ketika ia trending?

Dalam dunia media, kami mengenali tumpuan yang mendadak ini sebagai apa yang dilabelkan sebagai fasa kecemasan (baca tumpuan) dalam sesebuah konflik atau bencana yang berlaku.

Hakikatnya, fasa kecemasan bagi apa yang dilabelkan sebagai “perang” di Gaza oleh media tempatan dan antarabangsa telah berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu. Ia mungkin bertahan untuk tempoh sebulan lagi sekiranya tiada situasi kecemasan berskala besar berlaku di Palestin.

Penulis secara peribadi merasa janggal untuk menggunakan terma perang dalam konteks situasi yang berlaku di wilayah Palestin (Gaza) ini.

Ini kerana Gaza sejak dari 2007 telah disekat dan dikepung dari darat, laut dan udara oleh rejim zionis yang menduduki dan menjajah keseluruhan tanah merdeka Palestin, termasuk Baitulmaqdis, sejak 73 tahun lalu.

Dunia sehingga hari ini gagal mengiktiraf Palestin sebagai negara yang merdeka ketika warga Palestin terus menjadi pelarian di serata dunia.

Penempatan haram terus dibangunkan di Tebing Barat. Gaza pula adalah penjara terbuka lebih dua juta warga Palestin yang diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan dunia sama, tidak mampu memberi apa-apa keadilan kepada warga Palestin sejak Mei 1948.

Sekali imbas, kalian barangkali menghidu rasa kecewa penulis dalam ayat-ayat di atas, namun penulisan kali ini hanya akan menumpukan kepada persoalan kenapa tidak mudah untuk mana-mana pihak masuk (baca membantu) Gaza yang dikepung sejak 14 tahun lalu?

Artikel ini juga akan menumpukan kepada persoalan kenapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang ingin membantu warga Palestin perlu bekerjasama dan menyelaraskan bantuan mereka?

Sehingga Jumaat lalu, lebih 200 trak membawa bantuan kemanusiaan dihantar dari Mesir ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah.

Trak atau lori-lori berat ini bukan hanya membawa bantuan kecemasan, makanan dan perubatan tetapi turut membawa jentolak-jentolak yang bertujuan membersihkan runtuhan bangunan dan “membangunkan semula Gaza”.

“Atas apa sebab sekalipun, Mesir memainkan peranan penting kali ini. Mesir main peranan besar bukan hanya dalam aspek kemanusiaan, tetapi juga aspek politik yang membawa kepada gencatan senjata,” kata Koordinator MERCY Malaysia di Gaza, Dr Khamis Elessi kepada penulis melalui aplikasi zoom Jumaat lalu.

Sehari sebelumnya, Dr Khamis memaklumkan terdapat 60 trak dari Mesir yang membawa barangan makanan memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah yang dikawal Mesir.

Serangan rejim zionis selama 11 hari yang berakhir 21 Mei lalu membunuh 253 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak dengan lebih 1,900 cedera. Di Israel, dilaporkan 12 terbunuh, termasuk dua kanak-kanak, akibat serangan balas roket dari Gaza.

Media antarabangsa melaporkan 1,800 rumah ranap dengan 14,300 separa musnah akibat serangan udara rejim zionis. Lebih 77,000 dilaporkan hilang tempat tinggal di Gaza.

Setakat artikel ini ditulis, penulis difahamkan tiada lagi NGO dari Malaysia berjaya masuk ke Gaza ataupun berjaya menghantar bantuan dari luar, termasuk dari Mesir, ke wilayah terkepung itu.

Perkara itu juga turut disahkan Nadir Al-Nuri, satu-satunya warga Malaysia di Gaza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) dalam postingnya di Facebook pada 5 Jun lalu.

Hakikatnya, selaku petugas media yang terbabit dalam lapan tugasan liputan, termasuk misi kemanusiaan ke Gaza sejak tahun 2008, penulis sebenarnya tidak terkejut dengan kenyataan itu.

Ini kerana gencatan senjata masih lagi baru (sebulan selepas gencatan senjata masih dalam ruang lingkup fasa kecemasan dan transisi fasa baik pulih) dan atas sebab-sebab keselamatan adalah mustahil untuk Mesir membenarkan bantuan asing masuk Gaza.

Tanpa campurtangan atau kerjasama antara Kerajaan Mesir dan Kerajaan Malaysia adalah sukar untuk mana-mana pihak dari Malaysia masuk ke Gaza.

Sejak perang 2014, hanya NGO-NGO yang menyertai konvoi antarabangsa Miles of Smiles yang mempunyai jaringan kuat dengan pihak berkuasa Mesir, berjaya memasuki wilayah Gaza.

Penulis sendiri hanya tiga kali menjejakkan kaki ke wilayah terkepung itu, termasuk dua darinya melalui misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia membabitkan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Mesir pada 2010 dan 2012.

Kali terakhir penulis memasuki Gaza adalah pada Oktober 2014 iaitu kira-kira dua bulan selepas gencatan senjata bersama dengan Pengarah Serantau MERCY Malaysia bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah (MEENA), Norazam Ab Samah.

MERCY Malaysia antara NGO dari Malaysia yang menyalurkan bantuan secara konsisten ke Gaza sejak 2008 dan mempunyai pejabat di wilayah terkepung itu.

Selain MERCY Malaysia, antara NGO lain yang mempunyai pejabat dan wakil di Gaza adalah Viva Palestina Malaysia (VPM), MyCARE, Aman Palestin dan Cinta Gaza Malaysia.

Hakikatnya, mana-mana pihak yang mahu menghantar bantuan ke Gaza seharusnya menyedari mengenai tiga pintu masuk ke Gaza iaitu dua di bawah kawalan Israel iaitu Karem Abu Salem (pintu masuk komersial) dan Erez, selain sempadan Rafah di bawah kawalan Mesir.

Pihak terbabit juga seharusnya memahami situasi dinamik di pintu sempadan Rafah, satu-satunya laluan masuk bagi warga Malaysia ke Gaza.

Persoalannya, kenapa tidak mudah untuk kita memasuki Gaza walaupun Malaysia secara dasarnya mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Mesir?

Hakikatnya memasuki Gaza bukan hanya rumit untuk warga asing, sebaliknya pergerakan keluar masuk ke wilayah konflik itu juga amat rumit bagi warga Palestin walaupun dalam situasi kecemasan.

Laporan media menyatakan penduduk Palestin sendiri terpaksa menunggu berhari-hari, malah berbulan-bulan untuk melepasi pintu sempadan Rafah.

Dalam keadaan tertentu, pintu sempadan Rafah dikunci rapat oleh Mesir atas sebab-sebab tertentu yang tidak akan penulis kupas dalam artikel ini.

Misalnya pada 24 Oktober 2014 hingga September 2015, pintu sempadan Rafah hanya dibuka untuk tempoh 34 hari.

Lazimnya, kemasukan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah memerlukan kelulusan Kerajaan Mesir melalui proses saringan ketat dan bergantung kepada situasi keselamatan di Sinai dan wilayah Gaza itu sendiri.

Kemasukan ke Gaza seharusnya tidak disamakan dengan kemasukan ke wilayah konflik lain termasuklah di Syria dan Yaman.

Kemasukan ke wilayah Syria, misalnya dimudahkan melalui kelulusan Turki yang kini menguasai sebahagian wilayah utara Syria dan mempunyai obligasi menjaga pelarian Syria di kawasan dikuasainya.

Kemasukan ke Yaman, masih boleh dilakukan melalui perjalanan darat melalui Oman atau melalui penerbangan terus ke negara Arab itu dari Kaherah (Mesir).

Persoalan kedua yang harus NGO Malaysia fikirkan juga adalah bagaimana untuk menyalurkan bantuan ke Gaza dengan berkesan sekiranya semua bantuan itu berjaya melepasi pintu sempadan Rafah.

Adakah lebih baik barangan bantuan itu dibeli di Mesir atau beli saja kesemuanya di dalam Gaza (jika ada)? Pilihan manakah yang lebih mudah dan berkesan untuk membantu warga Palestin di Gaza?

Ini kerana usaha pembangunan semula di Gaza, tidak seharusnya disamakan dengan pembangunan semula di wilayah konflik lain.

Dalam tempoh 14 tahun dikepung rejim zionis, Gaza telah melalui empat siri peperangan berskala besar pada tahun 2008/2009, 2012, 2014 dan terkini pada Mei 2021.

NGO yang berpengalaman dan mempunyai track record tahu bahawa usaha membantu Gaza memerlukan penyelarasan dan perancangan jangka pendek/sederhana/panjang serta tidak memadai dengan bantuan one-off yang mungkin diperlukan pada fasa kecemasan.

Pembangunan semula Gaza seharusnya menyeluruh dan mengambilkira bahawa hasrat membangunkan sesebuah bangunan, hospital, masjid, sekolah atau apa saja premis bangunan, perlu mengambilkira elemen risiko yang bangunan terbabit akan musnah kemudiannya.

Perancangan juga harus mengambilkira mengenai bahan mentah atau bahan binaan yang dikawal ketat kemasukannya melalui pintu sempadan Karem Abu Salem yang dikuasai rejim zionis agar sesuatu projek itu dijalankan secara lestari dan tidak terbengkalai serta memberi impak yang sepatutnya kepada warga Palestin di Gaza.

Contoh terbaik adalah MERCY Malaysia yang pernah menambakbaik dan membina semula Hospital Rehabilitasi El-Wafa di Shujaiya, Gaza pada 2009, tetapi akhirnya hospital itu musnah dibedil oleh rejim zionis pada peperangan 2014.

Susulan dari insiden itu, MERCY Malaysia tidak lagi membina hospital di Gaza, sebaliknya menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan sektor kesihatan di wilayah terkepung itu dalam program jangka sederhana dan panjang.

“Kita akan menggunakan pengalaman sejak 2008 melalui empat perang dalam pembangunan semula Gaza. MERCY Malaysia akan menumpukan kepada pembangunan semula dan peningkatan kapasiti sektor kesihatan dan warga Palestin di Gaza.

“Kita akan meneruskan program kesihatan dan psikososial sebagai “assessment” untuk mengenalpasti keperluan dan bentuk sokongan kepada masyarakat selain meneruskan program jangka sederhana/panjang lain,” kata Norazam.

MERCY Malaysia menyalurkan lebih RM15.9 juta bantuan ke Gaza melalui 45 projek yang memanfaatkan lebih 500,000 warga Palestin sejak 2008.

Dalam konteks membantu Palestin, persoalan kerjasama dengan NGO tempatan (Palestin) atau NGO Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam isu Palestin juga perlu diberi perhatian supaya dana dan bantuan disalurkan memberi impak bermakna untuk warga Palestin.

Setahu penulis, NGO seperti MERCY Malaysia, Viva Palestina Malaysia, MyCARE, Cinta Gaza Malaysia, MAPIM dan beberapa inisiatif gabungan NGO seperti MyAqsaDefenders dan Aid4Palestine telah menyampaikan bantuan kecemasan ke dalam Gaza, sebelum gencatan senjata dicapai pada 21 Mei lalu.

NGO-NGO ini telah berjaya menyampaikan bantuan kecemasan merangkumi ubat-ubatan ke hospital dan fasiliti kesihatan terjejas, bantuan makanan dan keperluan harian, kepada warga Palestin yang terkesan dengan serangan rejim selama 11 hari itu.

Sehingga artikel ini ditulis, sekurang-kurangnya RM40 juta telah berjaya dikumpulkan NGO-NGO Malaysia ketika fasa kecemasan dalam menyalurkan bantuan ke Palestin.

Angka ini adalah satu jumlah yang besar. Sekiranya NGO (baca Malaysia) mahu memberikan impak yang signifikan dan berterusan kepada warga Palestin di Gaza atau Tebing Barat, suatu gerak kerja penyelarasan seharusnya dilakukan supaya bantuan-bantuan ini disalurkan secara sistematik dan terancang.

Ia juga bagi memastikan bantuan disalurkan sampai ke tangan warga Palestin secara telus dan menutup sebarang bentuk tuduhan penyelewengan.

Suatu ketika dulu, Malaysia pernah melakukan usaha penyelarasan bantuan ke Palestin yang dipantau Kementerian Luar supaya bantuan yang disalurkan tidak bertindan dan meliputi warga Palestin yang terjejas di Gaza dan Tebing Barat.

Kerja-kerja kemanusiaan adalah kerja yang baik dan semua pihak seharusnya saling melengkapi serta belajar daripada pengalaman yang ada supaya tiada usaha dibazirkan dan tidak memberi gambaran negatif kepada pihak lain dalam isu Palestin.

Ia bukan tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang berbuat baik dengan ilmu dan pengalaman yang saling melengkapi. Moga NGO-NGO Malaysia bersatu hati dalam usaha membantu Palestin dan berjaya memasuki Gaza. — AlHijrah Online

Syed Azwan Syed Ali adalah perunding media yang mempunyai lebih 16 tahun pengalaman sebagai wartawan dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply