SULTAN SELANGOR KECEWA DENGAN ANTI-VAKSIN DI SELANGOR

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan anti-vaksin di Selangor.

Setiausaha Politik Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda berharap rakyat di negeri itu tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya berkaitan vaksin COVID-19.

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti COVID-19.

“Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak tercapai, sekaligus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” kata Mohd Munir dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun 2021 mencecah 203,520 kes serta jumlah kematian yang amat membimbangkan iaitu 961 kematian sehingga 7 Jun 2021.

“Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin COVID-19 dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelum ini,” katanya.

Kata beliau, baginda bertitah adalah tidak adil nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

Baginda juga mahu agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar dan Sultan Selangor juga berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Dalam pada itu, baginda merayu agar rakyat terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply